Sebelum ini saya telah menulis mengenai siri-siri bijak kewangan. Terdapat 10 siri yang saya tulis dalam post-post sebelum ini. Walaupun tiada kaitan dengan perniagaan secara online, tetapi ianya penting untuk dikongsi bersama. Dalam kita menjalankan perniagaan secara online, kita juga perlu untuk menguruskan kewangan, kerana pengurusan kewangan adalah sesuatu yang penting dalam perniagaan.

Kali ini saya ingin bincang mengenai blog. Blog yang menghasilkan wang. Kini semakin ramai usahawan internet (netprenuers) beralih kepada blog. Semua kaedah menghasilkan pulangan melalui laman web boleh diaplikasikan menerusi blog.

Blog mudah popular kerana ia boleh dimulakan tanpa sedikitpun bayaran pendahuluan. Ini berbeza dengan laman web yang memerlukan sedikit modal sekurang-kurangnya untuk membayar hosting. Alam blog kini ligat berputar dan berkembang. Ramai mendapati blog lebih hebat daripada laman web kerana unsur interaktif blog itu.

Laman web agak sukar membentuk kumpulan pelawat yang aktif berinteraksi di alam siber. Sebaliknya membentuk komuniti siber merupakan tujuan utama sesuatu blog itu. Memudahkan interaksi merupakan ciri utama teknologi yang ada pada blog.

Anda boleh mengenali ’siapa’ di belakang sesebuah blog. Lebih hebat lagi orang boleh mendapat jawapan ‘apa’, ‘bila’, ‘mana’, dan ‘bagaimana’ melalui blog berbanding dengan laman-laman web. 

Melalui blog juga anda boleh menghasilkan wang dengan menyediakan ruang-ruang iklan. Dengan menyediakan ruangan iklan tersebut, anda akan mendapat bayaran daripada sesiapa yang ingin mengiklan perniagaan mereka di laman blog anda.

Contoh program yang memberi pulangan melalui blog ialah Adsense. Sekarang ini semakin ramai usahawan internet menyertai program ini. Terdapat juga program-program PPC (pay-per-click) yang lain yang boleh disertai untuk mendapatkan wang melalui pengiklanan.

 

Sphere: Related Content

Kekerapan melakukan pemantauan bergantung kepada situasi kewangan dan kematangan pemikiran kewangannya. Dalam kebanyakan kes pemantauan tahunan biasanya mencukupi. Sekiranya anda baru sahaja berjinak-jinak dengan proses 7 langkah ini, lebih kerap pengkajian semula lebih bagus. Begitu juga jika anda sedang menggunakan proses ini untuk menyelesaikan masalah kewangan yang sudah wujud. Dalam kes-kes seperti ini pemantauan secara mingguan atau bulanan lebih membawa kesan.

Situasi -situasi yang Mewajibkan Kajian Semula.

  1. Perkahwinan.
  2. Kelahiran anak.
  3. Kematian waris atau ahli keluarga.
  4. Penceraian suami isteri.
  5. Hilang upaya bekerja (contohnya lumpuh).
  6. Keadaan kesihatan yang bertambah buruk.
  7. Penerimaan harta pusaka seperti tanah, wang atau barangan emas.
  8. Penukaran dan pemberhentian kerja.
  9. Memulakan perniagaan baru.
  10. Apabila tiba umur persaraan.

Adakah situasi pencukaian anda telah berubah?

Bagi mereka yang pertama kali membayar cukai pendapatan, perancangan cukai pendapatan dan cara pengiraan cukai pendapatan berjadual mesti dipelajari. Strategi perancangan kewangan anda kini perlu mengambil kira kaedah-kaedah simpanan yang boleh memberikan pembayaran cukai yang paling minimum. Bagi mereka yang sedang membayar cukai dan akan berkahwin pula, anda perlu meninjau sama ada kaedah pembayaran secara bersama atau berasingan lebih menguntungkan.

Adakah wawasan kewangan anda telah berubah?

Contohnya anda berhajat membeli rumah teres (landed property) tetapi terpaksa bertukar kepada kondominium. Atau anda merancang untuk menyediakan tabung pendidikan untuk seorang anak sahaja tetapi Tuhan mengurniakan anak kembar.

Adakah perbelanjaan dan pendapatan anda mengikut belanjawan yang dirancang?

Contohnya belanjawan yang anda rangkakan dahulu mungkin terlalu optimistik sehinggakan tidak tercapai meskipun 3 bulan telah berlalu. Inilah tandanya anda perlu memantau kembali seluruh sistem kewangan anda termasuklah belanjawan, pendapatan dan perbelanjaan.

Apakah kadar pulangan pelaburan/simpanan yang anda hajati tercapai?

Simpanan dan pelaburan biasanya disebarkan dalam beberapa instrumen seperti ASB, Tabung Haji, Simpanan Tetap, Saham Ekuiti atau Unit Amanah (Unit Trusts). Jika anda dapati kadar pulangan yang diharapkan tidak setimpal dengan pulangan sebenar maka agihan aset anda perlu dibina semula dengan berpandukan tahap risiko dan kadar pulangan harapan yang baru.

Seperti mana yang telah saya tekankan dalam artikel-artikel lepas, “membaca” sahaja tanpa “membuat” tidak akan memberi apa-apa manfaat. Jika kita mengganggap situasi kewangan keluarga kita umpama kapal yang sedang belayar, sudah tentu sebagai nakhoda perlu melihat halangan-halangan di samudera di samping memeriksa kalau ada kebocoran tempatan.

 

Sphere: Related Content

Saya ingin mengajak pembaca mengisytiharkan Perang - ya! Perang terhadap semua jenis hutang yang akan muncul dalam hidup anda. Peperangan ini mesti dimenangi oleh pihak anda, kalau tidak anda akan menjadi hamba abdi selama-lamanya kepada organisasi atau individu yang menawarkan hutang. Seperti mana-mana peperangan anda perlu mengenali “musuh kewangan anda” dan “senjata-senjata” yang sesuai digunakan sebelum berhadapan dengannya.

Bagaimana kita boleh terjerumus dalam hutang sehingga menganggap  “hutang keliling pinggang” sebagai satu trend di zaman moden ini. Tersebutlah hikayat si Awang Sulong mengambil pinjaman perumahan, satu “Hutang baik”. Pada mulanya terasa juga bajet lari, tetapi selepas beberapa tahun dah jadi biasa.

Kemudian Awang membeli kereta untuk pergi kerja sebab tak sanggup berdiri dalam bas dan LRT. Berkat usaha rajin Awang Sulong dinaikkan pangkat, jadi perlulah pembelian barangan peningkatan mutu hidup seperti ASTRO, penyaman udara, pemanas air dan barangan berjenama. Melalui rakan sepejabat Awang dapat tahu ada satu kad plastik macam ATM yang membolehkan semua barangan idamannya dinikmati sekarang tapi bayar kemudian. walaupun bangga dan gembira dengan hartanya Awang mulai merasa perubahan dalam hidupnya - wang simpanannya makin berkurangan, bila dapat gaji selalu sahaja habis, petis pos yang dulunya kosong kini ada banyak “surat rasmi” berbahasa indah meminta wang. Masa lapangnya pula terpaksa digunakan untuk mencari pendapatan tambahan, sehinggakan tabiat balik kampung di hujung minggu terpaksa dibatalkan.

Mungkin ramai di antara pembaca sebenarnya kenal benar dengan Awang Sulong di atas. Mungkin juga ramai akan mempertahankan Awang dengan mengatakan bahawa kehidupan sedemikian serasi di zaman moden ini dan sememangnya hutang tak dapat dielakkan. Secara tegas saya nyatakan keadaan seperti Awang tidak OK sama sekali. Apa yang OK ialah mempunyai hutang baik, cuma satu hutang buruk dan Mengurus bukan bermaksud membayar tepat pada masa atau menyusun penyata pembayaran (biling) dalam fail tetapi betul-betul mengurus.

Sekarang tibalah masanya untuk mengenali ”senjata-senjata” yang perlu digunakan pula. Setiap senjata di bawah boleh dilancarkan secara berasingan atau digabungkan bersama untuk menghasilkan kesan yang lebih hebat.

Mengurangkan Perbelanjaan

Satu penyelesaian yang ketara memang sukar dilakukan disebabkan oleh tabiat manusia yang tamak. Kategori perbelanjaan yang sepatutnya disiasat ialah hiburan,perjalanan dan pelancongan, hadiah, kereta baru dan pengubahsuaian rumah. Semasa melakukan proses siasatan ini tanya soalan-soalan berikut:

  1. Adakah mungkin ”keperluan” anda sebenarnya “kehendak”?.
  2. Bolehkah perbelanjaan “Keperluan” anda dikurangkan lagi?.
  3. mungkin gaya hidup anda sekarang sebenarnya tidak sesuai dengan pendapatan anda?.

Membayar Pinjaman Kad Kredit

Melupuskan pinjaman kad kredit merupakan kaedah serampang dua mata. Anda bukan sahaja mengurangkan bebanan anda tetapi sebenarnya anda juga memperoleh pulangan pelaburan. Contohnya jika anda melupuskan hutang kad kredit yang memberikan faedah 1.5 peratus sebulan (18 peratus setahun), ini setara dengan melabur dalam satu instrumen kewangan yang memberikan dividen 18 peratus. Andai kata anda tidak dapat melupuskan hutang ini secara terus, gunakan cara beransur - gandakan bayaran bulanan asal supaya jumlah faedah (interest) dapat dikurangkan secepat mungkin.

Konsolidasi Atau Pindahan Hutang.

Langkah ini boleh digunakan seandainya ada hutang yang susah dilupuskan. Cara ini bertujuan untuk mengurangkan kos hutang anda. Contoh strategi pindahan - carikan kad kredit yang lebih murah (umpama tiada yuran tahunan langsung) dan gunakan kad kredit baru itu untuk membayar terus pinjaman kad kredit lama. Contoh strategi konsolidasi - “refinance” rumah untuk mendapat pinjaman bagi membayar semua hutang yang ada, kemudian serviskan pinjaman perumahan baru pada kadar faedah yang telah ditetapkan. Cara ini amat berkesan tetapi pastikan kos baru untuk mendapatkan pinjaman tersebut tidak menjejaskan belanjawan anda. Disebabkan terdapat banyak pilihan pinjaman perumahan sekarang anda digalakkan meminta nasihat kewangan untuk mengkaji perbandingan pengiraan bagi kaedah “refinance” yang terbaik.

Gunakan Wang Simpanan

Sekiranya wang simpanan anda mencukupi, anda boleh juga menggunakan sumber ini untuk melupuskan hutang yang berkos tinggi seperti kad kredit. Tetapi pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya dana kecemasan yang setara 6 bulan perbelanjaan anda sebelum mencuba strategi ini.

Pinjaman Keluarga

Kalau sudah terdesak anda boleh gunakan strategi ini tetapi dengan satu syarat demi kebaikan si peminjam. Contohnya kalau anda meminjam daripada keluarga anda untuk membayar hutang kad kredit atau along pada kadar 18 peratus setahun, bayarkan balik kepada mereka pada kadar faedah tertentu contohnya 7 peratus setahun. Kalau boleh untuk menyedapkan hati keluarga anda sediakan satu perjanjian bertulis mudah supaya semua pihak puas hati.

 

Sphere: Related Content

Next Page »